Undi18, adakah rakyat sekali lagi dikhianati?

Undi kita telah dikhianati oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) apabila parti tersebut memberontak terhadap kepimpinan gabungan yang dianggotainya, Pakatan Harapan (PH) dan meninggalkan gabungan tersebut di mana sejurus selepas pemberontakan mereka, ianya telah mengakibatkan kejatuhan kerajaan yang diterajui oleh PH pada penghujung Februari 2020 yang lalu.

PPBM seterusnya membentuk satu gabungan politiknya yang baru bernama Perikatan Nasional (PN) dan mengajak Barisan Nasional (BN) serta Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk bersamanya membentuk sebuah kerajaan pemberontak bagi mengambil-alih tampuk pemerintahan daripada PH pada awal Mac 2020.

Kerajaan pemberontak pimpinan PN hasil kerjasama BN dan GPS yang dipimpin oleh PPBM telah menarik balik beberapa siri pembaharuan yang telah dan sedang diusahakan oleh kerajaan sebelum ini. Undi kita sekali lagi dikhianati apabila kerajaan pemberontak pimpinan PN ini memansuhkan rang undang-undang pindaan perlembagaan yang menghadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada hanya dua penggal, sejurus itu membenarkan seseorang pemimpin parti menjawat jawatan perdana menteri mengikut keselesaannya tanpa had.

Tidak lama kemudian, negara kita sekali lagi dikejutkan dengan satu lagi pengkhianatan apabila kerajaan pemberontak pimpinan PN turut memansuhkan rang undang-undang pembentukan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) tanpa sebarang alasan yang munasabah. Tujuan pembentukan IPCMC yang dirancang sebelum ini adalah untuk membentuk suatu mekanisme semak imbang terhadap Polis Di Raja Malaysia (PDRM) yang turut meliputi aspek penambahbaikan, pemodenan organisasi dan pembaharuan menyeluruh terhadap pasukan keselamatan tersebut.

Minggu lepas pula, kita dikejutkan sekali lagi dengan satu siri pengkhianatan apabila kerajaan pemberontak pimpnan PN menunda perlaksanaan Undi18 kepada satu tarikh yang belum dapat ditentukan lagi untuk dilaksanakan hanya dalam tahun 2022-2023. Alasan yang diberikan oleh PN adalah kerana Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) tidak meempunyai cukup masa untuk merealisasikan perlaksanaan tersebut disebabkan oleh perintah darurat dan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang sedang berkuatkuasa disebabkan oleh penularan wabak covid-19 yang turut menyebabkan perlaksanaan pendaftaran pengundi baru secara automatik juga tidak dapat dilaksanakan.

Persoalannya adalah, kenapa Undi18 hanya dapat dilaksanakan apabila pendaftaran pengundi baru secara automatik dapat dijalankan? Kenapa Undi18 tidak boleh dilaksanakan terlebih dahulu, sementara pendaftaran pengundi baru secara automatik boleh dilaksanakan kemudian? Kenapa ianya wajib dan perlu dilaksanakan serentak?

Kami berpendapat, Undi18 tidak dapat dilaksanakan disebabkan oleh PKP berikutan penularan wabak covid-19 itu hanya alasan remeh semata-mata kerana yang kita dapat perhatikan selama ini adalah PN tidak dapat menerima hakikat kebangkitan suara anak-anak muda yang telah menyedari bertapa pentingnya politik dalam hidup mereka dan kesedaran golongan muda yang semakin rancak dalam keinginan mengetahui dengan lebih mendalam hal-hal berkaitan perlembagaan, pemerintahan, pembuatan dasar serta perkara-perkara yang berkenaan dengan hak asasi kemanusiaan, kebebasan bersuara dan sebagainya.

Apabila penangguhan Undi18 itu mula mendapat kecaman umum, kerajaan pemberontak pimpinan PN mula berdolak-dalik dan menyalahkan SPR pula, kononnya mereka (PN) tidak mempengaruhi keputusan tersebut. PPBM mendakwa “tidak dapat menerimanya” tetapi “tetap akur” dengan keputusan SPR. Sementara itu PAS pula mendakwa perlaksanaan Undi18 belum lagi sesuai di masa kini kerana kematangan golongan muda dalam politik belum lagi mencapai tahap yang menyakinkan.

Seterusnya, kerajaan pemberontak pimpinan PN juga telah mengerahkan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan susulan terhadap golongan muda dan beberapa pemimpin muda yang telah mengadakan bantahan terbuka baru-baru ini terhadap keputusan PN untuk menangguhkan perlaksanaan Undi18.

Hampir kesemua negara di Asia Tenggara telahpun meminda had umur mengundi rakyat mereka bagi membolehkan mereka mengundi dalam pilihanraya apabila mereka telah mencapai umur 18 tahun kelak. Ini bermakna kerajaan pemberontak pimpinan PN masih memandang rendah akan kematangan muda-mudi negara kita ini ataupun PN sebenarnya amat takut dengan kebangkitan dan kesedaran golongan muda yang mula menyerlah dalam hal-ehwal politik negara. PN takut dengan kebangkitan dan kesedaran golongan muda akan menyebabkan pemerintahan mereka tidak akan bertahan lebih lama seperti yang diharapkan dan sebab itulah PN mengambil kesempatan daripada wabak covid-19 ini uuntuk menangguhkan terus perlaksanaan Undi18 tersebut agar ianya hanya direalisasikan dalam setahun dua lagi.

Ketakutan PN juga jelas terbukti apabila kerajaan pemberontak mengarahkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) agar menolak terus permohonan pendaftaran Ikatan Demokratik Perpaduan Malaysia (Malaysian United Democratic Alliance-MUDA) tanpa mengemukakan sebarang alasan bagi penolakan tersebut walaupun setelah jawatankuasa penaja MUDA berjaya memenuhi semua permintaan ROS bagi membolehkan permohonannya memperoleh kelulusan.

Persoalan yang seterusnya adalah, rakyat kita sudah berkali-kali dikhianati, satu demi satu kami menyaksikan pengkhianatan tersebut di depan mata. Adakah PN yang dipimpin oleh para pemimpin yang khianat, akan juga bakal mengkhianati negara di suatu hari kelak? Adakah di bawah PN ini, negara kita akan jatuh ke tangan kuasa-kuasa asing di masa yang terdekat?

Ini adalah kerana PN kini penuh dengan pengkhianatan, tidak habis-habis dengan perbuatan khianat sehinggalah pada hari ini.

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s