Menjelang 214 tahun penubuhannya, PDRM masih mengalami defisit kepercayaan

Menjelang 214 tahun penubuhannya, Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dilihat masih menghadapi defisit kepercayaan sehingga pada hari ini. Apakah sebenarnya telah dan sedang berlaku? Ini bukannya suatu usaha untuk memberikan suatu gambaran yang negatif terhadap PDRM, tetapi pendapat kami serta pelbagai maklum balas yang diperolehi daripada masyarakat secara umumnya.

Tujuan utama kewujudan PDRM hingga pada hari ini masihlah sama, yakni membanteras dan mencegah jenayah, memelihara keselamatan dan ketenteraman awam serta memastikan keharmonian di kalangan masyarakat terperlihara dengan sewajarnya.

Namun PDRM juga berdepan dengan pelbagai cabaran “politik dalaman” yang padat, pada masa yang sama juga gejala-gejala seperti penyalahgunaan kuasa, amalan rasuah dan pengurusan yang kurang memuaskan terus menghantui pasukan keselamatan tersebut.

Masyarakat antarabangsa pada hari ini telah mengorak langkah ke arah modenisasi dengan pembangunan sains dan teknologi dan pasukan-pasukan keselamatan di banyak negara juga tidak terkecuali daripada usaha pembangunan, dan pemodenan teknologi tersebut bagi meningkatkan keberkesanan mereka dalam memerangi pelbagai bentuk jenayah serta memastikan agar keselamatan dan keamanan negara masing-masing terpelihara.

Contoh pembangunan dan kemajuan pesat pasukan-pasukan keselamatan di beberapa buah negara khusus wajar dicontohi dan diambil sebagai panduan bagi merealisasikan usaha yang sama di negara kita ini. Pemodenan PDRM di negara ini hendaklah meliputi pelbagai aspek, daripada pembabitan seseorang rekrut pada hari pertama, perjalanan latihan asas dan lanjutan sehinggalah tamatnya pengkursusan tersebut dengan penyerapan penuh serta tanggungjawab dan penugasan harian setiap anggota yang terlibat.

Apa yang kami dapat lihat sehingga pada hari ini adalah proses pembaharuan dalam PDRM sering terbantut kerana ramai pegawai dan anggota yang masih tidak dapat menerima hakikat di mana bantuan dan nasihat daripada pihak awam perlu diterapkan dalam proses pembaharuan tersebut.

Yang jelas adalah apabila Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (Independent Police Complaints and Misconduct Commission-IPCMC) dicadangkan pembentukannya bagi membantu PDRM memerangi gejala-gejala yang tidak sihat dalam pasukan keselamatan tersebut serta membantu memulihkan imej dan melaksanakan pembaharuan, ramai di kalangan pegawai-pegawai dan anggota-anggota polis yang membantah langkah-langkah tersebut.

Malah yang lebih memburukkan lagi keadaan tersebut adalah apabila ada kalangan pemimpin-pemimpin utama parti-parti politik konservatif yang berasaskan kaum dan agama di negara ini cuba memberikan gambaran yang salah dan tidak tepat mengenai proses pembaharuan dan pembentukan IPCMC sehinggakan dua kesatuan sekerja polis yang paling berpengaruh, yakni Persatuan Pegawai Kanan Polis Di Raja Malaysia (PPKP) dan Persatuan Pegawai Rendah Polis Di Raja Malaysia (PPRP) secara terbuka enggan menerima usaha pembaharuan dan IPCMC kerana tidak dapat menerima “campurtangan” daripada pihak luar dan bukan dari kalangan pasukan keselamatan, sebaliknya mendakwa bahawa PDRM mampu menyelesaikan masalah dan cabaran dalamannya secara tersendiri tanpa sebarang bantuan daripada “pihak luar”.

Berikutan salah faham PPKP dan PPRP serta perbuatan beberapa parti-parti politik konservatif yang berasaskan kaum dan agama serta pertubuhan-pertubuhan radikal berhaluan kanan yang terus mencemarkan langkah-langkah murni tersebut, usaha pembaharuan dalam PDRM dan pembentukan IPCMC sekali tergendala buat kali kedua apabila kementerian dalam negeri (KDN) mengambil keputusan untuk memansuhkan Rang Undang-Undang (RUU) IPCMC 2020, sebaliknya digantikan pula dengan satu RUU IPCC (Suruhanjaya Bebas Aduan Polis) 2021 yang mana peranan dan fungsinya dikurangkan kepada hanya bertindak sebagai sebuah badan penasihat dan pemerhati yang tidak mempunyai sebarang kuasa tatatertib dan tindakan susulan. Malah, yang lebih tidak menyenangkan adalah IPCC itu akan diletakkan di bawah seliaan menteri dalam negeri itu sendiri di mana semua lantikan dan keputusan akhir akan dibuat oleh menteri tersebut.

Cabaran PDRM tidak selesai di situ sahaja, apabila terbongkar satu lagi elemen negatif dalam PDRM, apabila ketua polis negara Tan Sri Hamid Bador mengakui bahawa wujudnya satu kartel dalam pasukan keselamatan tersebut yang mempunyai kepentingan tertentu dan salah satu daripada usaha kartel tersebut adalah untuk memastikan ketua polis negara yang ada sekarang digantikan dengan “pegawai kanan daripada kalangan kartel” tersebut agar matlamat dan kepentingan mereka dapat dicapai.

Memang tidak dapat dinafikan kartel tersebut wujud kerana politik dalaman PDRM amat padat, mungkin lebih padat daripada jangkaan kami sebenarnya kerana sebaik sahaja ketua polis negara mengakui wujudnya kartel tersebut, beberapa orang bekas ketua polis negara mula tampil memberikan pengakuan yang tidak begitu jelas bahawa memang wujudnya pelbagai masalah dalaman sewaktu era kepimpinan mereka yang lalu dalam PDRM.

Malah pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) PDRM Datuk Zamri Yahya turut mengakui wujudnya sekumpulan pegawai-pegawai kanan polis yang hidup dengan begitu mewah kerana giat menerima rasuah sebagai balasan tidak membanteras atau bertindak terhadap “beberapa kumpulan jenayah” yang sedang menguasai kawasan-kawasan yang tertentu.

Hakikatnya adalah PDRM sememangnya mempunyai masalah dalamannya dan cabaran yang perlu ditempuhi dengan bantuan nasihat dan tenaga pakar dari luar bagi menambahbaik pasukan keselamatan tersebut. Seperti juga Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan, kedua-dua agensi penguatkuasaan ini juga menghadapi pelbagai masalah dalaman dan amalan rasuah turut terkesan daripadanya.

Kenapa masalah tersebut terjadi? Ini adalah kerana ketiadaan sebarang pemantuan dan usaha semak imbang dalam memastikan ketelusan dan keberkesanan agensi-agensi penguatkuasaan tersebut yang menyebabkan elemen-elemen negatif dan gejala rasuah semakin serius dan sukar ditangani kerana pelbagai “tindakan politik dalaman” yang menghalang sebarang usaha untuk menambahbaikkan keadaan.

Ketiadaan pemantuan dan usaha pembaharuan serta kelembapan kerajaan pusat dalam menangani masalah tersebut menyebabkan pertubuhan-pertubuhan sivil dan hak asasi kemanusiaan (NGO) mula mengambil alih peranan untuk berkempen memberikan penekanan dan menyeru agar pemantauan yang lebih berkesan dilaksanakan supaya fungsi-fungsi agensi-agensi penguatkuasaan tersebut dapat menjadi lebih telus dan cekap dalam perjalanan penugasan mereka.

Dalam usaha menyeru agar pembaharuan dilaksanakan dalam PDRM dan agensi-agensi penguatkuasaan yang lain, kami juga dapat melihat dengan jelas ada di kalangan pemimpin-pemimpin utama parti-parti politik konservatif yang berasaskan kaum dan agama serta pertubuhan-pertubuhan radikal berhaluan kanan cuba menabur fitnah dan tohmahan kononnya “ada usaha untuk membubarkan PDRM”; “menghina pasukan polis”; “menghapuskan PDRM”; “menghina pegawai polis”; “menghina Islam” dan pelbagai tohmahan lagi, sambil berusaha mempengaruhi para pegawai-pegawai tinggi agensi-agensi penguatkuasaan tersebut agar menyokong mereka dengan membantah dan tidak membenarkan sebarang usaha murni untuk memperkenalkan apajua bentuk pembaharuan di dalam agensi-agensi di bawah kelolaan mereka.

Keselamatan awam dan kepolisan bukan sekadar terletak di atas bahu PDRM dan agensi-agensi penguatkuasaan yang lain. Ianya juga melibatkan kepentingan umum dan kami sebagai rakyat Malaysia juga berhak untuk memberikan sedikit sebanyak maklum balas, cadangan dan pendapat bagaimana pembaharuan dalam agensi-agensi penguatkuasaan tersebut dapat dilaksanakan demi kebaikan semua pihak dan khususnya kepada hal-hal berkaitan dengan keselamatan negara.

Sekiranya hendak mengatakan kita ini “menghina”, “memansuhkan”, “cuba menghapuskan” dan tidak menghargai sumbangan agensi-agensi penguatkuasaan tersebut dan cuba “campurtangan” dalam usaha menambahbaik keadaan semasa agensi-agensi penguatkuasaan tersebut, itu suatu dakwaan yang salah dan berbentuk fitnah yang bertujuan untuk mengancam dan menghapuskan kepercayaan orang ramai terhadap para pegawai dan anggota agensi-agensi penguatkuasaan.

Hakikatnya adalah, sekiranya lebih banyak halangan dilakukan terhadap usaha pembaharuan dan penambahbaikan tersebut, maka lebih tinggilah defisit kepercayaan terhadap agensi-agensi yang berkenaan. Defisit-defisit inlah yang akan dengan sendirinya mengakhiri kewujudan dan penghormatan terhadap agensi-agensi tersebut.

Para pemimpin-pemimpin utama parti-parti politik konservatif yang berasaskan kaum dan agama serta pertubuhan-pertubuhan radikal berhaluan kanan hendaklah bertanggungjawab penuh terhadap defisit-defisit kepercayaan tersebut.

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s