Adakah PN ingin memansuhkan Parlimen dan DUN dalam masa yang terdekat dan beralih ke sistem satu-parti?

Berikutan pengisytiharan darurat dan penggantungan parlimen serta dewan-dewan undangan negeri, persoalan berikutnya adalah, adakah PN akan terus berbuat demikian, memansuhkan sistem demokrasi berparlimen dan mengorak langkah ke arah pemerintahan sati-parti dalam negara ini?

Pasar malam dibenarkan untuk beroperasi sepenuhnya, sekolah juga dibenarkan pembukaan pada seesi persekolahan yang baru, tidak lama lagi kolej, kolej universiti dan universiti akan juga dibenarkan beroperasi dengan sepenuhnya.

Sebelum ini, majlis keramaian di kementerian-kementerian, majlis meraikan menteri-menteri baik secara peribadi mahupun secara rasmi, semuanya telah dibenarkan sepenuhnya, seperti biasa, katanya “SOP berkenaan hendaklah dipatuhi dengan sewajarnya” bagi mengelak penularan semula wabak covid-19 itu. Tetapi apabila terdapat video-video yang tular di media sosial berkenaan dengan beberapa majlis keramaian baru-baru ini, didapati agak ramai juga daripada kalangan Maha VIP, VVIP, SVIP dan VIP yang didapati gagal mematuhi SOP yang ditetapkan.

Dan apabila aduan dan ketidakpuashati didengari, maka golongan-golongan ini pula segera memberikan pelbagai jenis dan bentuk alasan kononnya mereka tidak melanggar sebarang SOP sewaktu majlis keramaian tersebut dihadiri mereka. Setelah itu, lakonan adegan seterusnya dengan keterangan diambil pihak berkuasa, yang ini disoal siasat, yang itu disoal siasat, buka kertas siasatan, buka fail siasatan dan selepas itu, kami pun “sudah lupa atau tak berapa ingat lagi” sama ada pihak berkuasa sudah mengambil tindakan, mengeluarkan kompaun ataupun tidak. Yang kami dengar, sekadar “tiada berita lagi”, atau “masih dalam siasatan lagi”, yang lain mengatakan “fail sudah dihantar ke pejabat peguam negara”, manakala yang lebih teruk lagi adalah, untuk menyenangkan kerja, “No Further Action”, yang buka fail ini, buka fail itu semua cuma formaliti sahaja apabila ada pihak yang mengadu soal dua darjat dan mengeluarkan komentar tidak puashati.

Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagaimana pula? Masih tidak boleh bersidang kerana penularan wabak covid-19 masih belum dapat dikawal dengan sepenuhnya lagi. Tambah pula, ramai di kalangan ahli-ahli parlimen dan dewan-dewan undangan negeri sudah pun berusia lebih daripada 50 tahun, oleh kerana itulah golongan wakil-wakil rakyat ini merupakan golongan yang berisiko tinggi, kononnya.

Bila minta sidang parlimen dan DUN diadakan melalui talian (online) seperti yang telah dilakukan oleh beberapa buah negara sebelum ini, pengurusan parlimen dan jabatan perdana menteri pula memberikan pelbagai alasan, mengatakan Malaysia masih belum bersedia untuk mengadakan sidang-sidang parlimen dan DUN di atas talian kerana “kekurangan teknologi dan tenaga-tenaga pakar” untuk menguruskannya. Sementara itu, pasar malam, pasar awam, sekolah-sekolah dan institusi-institusi pengajian tinggi dibenarkan pembukaan sepenuhnya. Majlis keramaian di kalangan kementerian, jabatan dan agensi kerajaan juga dibenarkan sepenuhnya. Tak ada yang memberi alasan kononnya terdapat ramai yang berusia lebih daripada 50 tahun di pasar-pasar, golongan remaja dan kanak-kanak yang berumur di bawah 18 tahun dan inilah golongan berisiko tinggi yang perlu dipantau.

Cuma parlimen dan DUN sahaja yang terpaksa akur dan menerima arahan larangan bersidang atas sebab-sebab yang tersebut di atas. Apabila jawatankuasa-jawatankuasa pilihan parlimen (parliamentary select committees) hendak mengadakan sidang atas talian bagi membincangkan perkara-perkara yang berkaitan dengan dasar, semak imbang dan pemantauan kegiatan-kegiatan dan belanjawan kerajaan, itu pun tidak dibenarkan speaker dewan rakyat kerana arahan jabatan perdana menteri kononnya semua fungsi parlimen masih digantung berikutan darurat.

Dan apabila ada pihak-pihak yang “prihatin” terhadap ketelusan tadbir urus kerajaan ingin mengemukakan rayuan rasmi kepada Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong (SPB YDPA), ramai di kalangan pemimpin PAS, BERSATU dan UMNO melemparkan pelbagai tohmahan dan fitnah kononnya kami sedang merancang menderhakai titah perintah SPB YDPA kononnya kami sedang menghasut orang ramai agar melawan institusi feudal dan simbolik negara ini.

Ini sekadar rayuan sahaja, faham tak Bahasa Melayu? Rayuan sahaja! Kenapa pula para pemimpin PAS, BERSATU dan UMNO yang suka sangat nak memperbesarkan perkara ini sampainya ke hujung langit, mengajak agar laporan polis dibuat di seluruh negara, di ratusan balai-balai polis dan IPD-IPD seluruh negara, kononnya ada hasutan sedang diusahakan “agar titah perintah SPB YDPA diderhakai” dengan sepenuhnya? Apakah agenda-agenda PAS, BERSATU dan UMNO di sebalik “pertandingan membuat laporan polis” di seluruh negara ini?

Kami berpendapat ada usaha di sebalik Perikatan Nasional (PN) yang menerajui kerajaan pemberontak sekarang untuk memansuhkan institusi parlimen dan DUN untuk digantikan dengan badan-badan atau majlis-majlis penasihat yang tidak berkuasa. Kami juga berpendapat PN ingin memerintah negara ini melalui sistem satu-parti bagi membolehkan mereka menguasai sepenuhnya kerajaan persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri. Sebab itulah, permohonan-permohonan beberapa pemimpin untuk membentuk parti-parti politik baru telah ditolak mentah-mentah kerana kerajaan pemberontak PN kini sedang merancang untuk menghapuskan sistem demokrasi pelbagai parti secara beransur-ansur dengan menggunakan pelbagai undang-undang yang sedia ada untuk melaksanakan rancangan-rancangan jijik mereka. Ini pendapat kami mengenai kedudukan PN sekarang berdasarkan pelbagai tingkah laku yang mereka tonjolkan selama ini.

Kata kerajaan pemberontak PN bahawa pengisytiharan darurat dan penggantungan parlimen bertujuan mengawal penularan wabak covid-19, wakil-wakil rakyat yang ada pada hari ini adalah terdiri daripada golongan berisiko tinggi berdasarkan umur-umur mereka. Akan tetapi upacara keramaian dibenarkan, sekolah boleh dibuka, universiti boleh dibuka, pasar malam dan pasar awam dibenarkan beroperasi sepenuhnya, perdana menteri kerajaan pemberontak Muhyiddin Yasin pula “melancung” ke Arab Saudi, Emeriah Arab Bersatu (UAE) dan telah juga “melancung” di Sabah. Adakah beliau ini bukannya dari golongan berisiko tinggi? Adalah beliau ini masih berumur dalam lingkungan 30an? Masih muda dan kuat? Yang kami tahu beliau ini orang yang masih berpenyakit jangka panjang, pernah menjalani pelbagai pembedahan dan kini masih lagi berubat, puluhan jenis kononnya, ini cuma pendapat kami kerana kami hairan orang-orang tua yang lain semua berisiko tinggi tetapi yang tua, berusia seperti dia ini pula tidak berisiko. Dua darjat? Ataupun dia sudah disuntik 10 kali dos vaksin, sebab itu beliau kebal dari wabak covid-19 sementara wakil-wakil rakyat yang lain cuma mengambil 2 kali dos vaksin sahaja. Boleh tak beliau menjelaskan keadaan tersebut?

Ini bukan berita palsu! Jangan kerana takut hendak menjawab persoalan dan kritikan tersebut, ditutup pula “kebocoran” ini dengan menggunakan enakmen atau ordinan “berita palsu”, kononnya kami pula cuba menggugat kestabilan negara dan kerajaan pemberontak PN ini, sedangkan PN sendirilah yang telah hilang majoriti, terus menggantung parlimen bagi memberinya masa untuk mengeluarkan “tender terbuka” untuk membeli sokongan daripada wakil-wakil rakyat yang “berisiko tinggi”. Betul tak?

Yang kami fahamkan adalah SPB YDPA telahpun memperkenankan agar sidang parlimen boleh diadakan walaupun sewaktu darurat sedang berkuatkuasa. Pelbagai alasan diberikan oleh PN untuk tidak mematuhi titah tersebut dengan memutarbelitkan perintah tersebut dengan pelbagai peribahasa demi peribahasa, seperti kamilah yang tidak memahami Bahasa Melayu, agar ianya mengelirukan kita. PN turut mendakwa perbuatan ini bukannya mengingkari titah perintah ataupun menderhaka, jadi apa maksudnya? Kami yang merayu itu menderhaka? Apa yang ketua kerajaan pemberontak, kabinet menteri-menterinya, BERSATU, PAS dan UMNO berkata itu semuanya tulen dan benar-benar belaka. Apa yang yang dikatakan parti-parti pembangkang, pertubuhan-pertubuhan hak asasi manusia, para pemerhati, pengkritik dan pengulas dasar berkata ini semuanya berita-berita palsu dan terpaksa menghadapi ancaman tindakan undang-undang melalui enakmen atau ordinan berita palsu.

Sekali lagi, kami berpendapat, adalah amat jelas sekali di sini, apa yang telah dan sedang diusahakan oleh kerajaan pemberontak dan para pemimpin PN sekarang adalah untuk memerintah negara ini melalui sistem satu-parti dengan pemansuhan amalan demokrasi serta penghapusan institusi-institusi parlimen dan DUN pada peringkat awal dan disusuli dengan beberapa langkah yang bakal melihat parti-parti politik lain terbubar satu demi satu di masa-masa terdekat ini.

Ingin kami tegaskan sekali lagi di sini, ini bukan berita palsu, tetapi pendapat kami mengenai tindak tanduk PN sekarang berdasarkan apa yang sedang berlaku sekarang. Alasan kestabilan politik tergugat, penularan covid-19 dan demi manfaat rakyat itu cuma alasan tumpangan yang kebetulan berada di depan mata umum digunakan oleh PN untuk meneruskan pemerintahan tanpa mandat mereka.

Jangan sekadar mendakwa in dan itu berita palsu. Berikan penjelasan yang menyeluruh, telus dan benar yang dapat menyakinkan rakyat jelata. Buktikan keikhlasan kamu kepada rakyat jelata daripada terus, menyorok, merahsia dan menafikan apajua perkara.

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s